SEREMBAN, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Program Jom Baca Bersama 10 Minit 2021 yang dianjurkan secara serentak di seluruh Malaysia sempena Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2021 pada 22 April yang lalu menjadi pencetus inisiatif bagi Pusat Sumber Politeknik Nilai untuk melaksanakan Program Derma Buku.

Menurut Penolong Pustakawan Politeknik Nilai Shahrin Othman, program ini merupakan inisiatif Pusat Sumber bagi menambah koleksi bahan bacaan di Pusat Sumber Politeknik Nilai.

"Antara objektif penganjuran adalah menggalakkan warga kerja dan pelajar menderma bahan bacaan baharu atau terpakai bagi menambah bahan bacaan di Pusat Sumber.

"Ilham untuk mengadakan Program Derma Buku ini tercetus setelah saya lihat pusat sumber ini menjadi pusat sehenti bagi mendapatkan pelbagai maklumat bukan sahaja oleh para pelajar, malah para pensyarah dan tenaga pengajar.

"Ia juga dapat membantu Pusat Sumber membangunkan koleksi yang lebih pelbagai seperti bahan bacaan ringan seperti novel, komik, majalah dan bahan rujukan pelajar di samping menjadikan Pusat Sumber sebagai tempat rujukan bahan yang lebih mantap dan pelbagai," katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Majlis perasmian dan gimik Program Derma Buku dirasmikan Pengarah Politeknik Nilai Wan Zulkifly Wan Zakaria, semasa Majlis Perhimpunan Bersama Kakitangan Politeknik Nilai di institusi pendidikan tersebut.