SHAH ALAM – Seorang pemuda, Muhammad Firdaus Naim Yuswan @ Rizwan menjadi graduan sulung menerima Dual Certification Program Techno Huffaz Politeknik Malaysia dalam Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) ke-22 hari ini.

Muhammad Firdaus, 22, menerima Diploma Pengajian Perniagaan yang disampaikan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor di samping Sijil Tahfiz Malaysia daripada Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Program Techno Huffaz mula diperkenalkan pada sesi Jun 2017 dengan melibatkan pelajar Jabatan Perdagangan sebelum diperluaskan kepada para pelajar Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan
Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Kejuruteraan Awam.

Menurut Muhammad Firdaus, dia mengambil tahfiz ekoran kurang membaca al-Quran walaupun berlatar belakangkan sekolah agama sebelum ini.

“Memang mencabar kerana mengambil dua sijil dalam satu masa dalam tempoh pengajian selama tiga tahun.

“Pengalaman manis apabila dapat menghabiskan hafazan surah terakhir sebelum Maghrib pada 1 Ramadan, dua tahun lalu di PSA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berharap lebih ramai golongan muda dan pelajar Islam berminat untuk membaca dan mendalami al-Quran-K!ONLINE


.